Kelmarin saya dapat satu cerita dari Kubuq Panjang. Ni kisah orang kampung. Kisah yang besa kita dengaq, tapi tak patut kita biaq. Alkisahnya yang dikisahkan kepada saya, kisahnya macam ni.
Ada seorang yang ada title ustaz buat kenduri. Maka dipanggei la orang-orang datang jamu selera lepas jumaat. "Baguih la tu buat kenduri bagi orang ramai makan, banyak pahala tu" kata saya.
"Baguih apanya pulak... aku tak habih cerita lagi ni," tingkah kawan yang bawak cerita tu. Saya sengih saja la. Lalu dia sambung.
"Yang heran tu pasai apa dia tak habaq sama kat jiran yang jauhnya selang pat lima buah rumah saja dengan rumah dia. Yang aku tau, ikut Islam kalau kita buat kenduri, 40 rumah jiran-jiran di sekeliling rumah kita, kita kena panggil. Nak kata dia tak tau dia tu ustaz." Bersungguh-sungguh dia bercerita.
Tanya saya, "Apa salahnya kalau dia tak ndak panggil jiran dia tu? mana ada undang-undang tentang perkara tu."
"Tak salah la pada undang-undang negara, tapi kita kena jaga hati jiran. Bila kita tak panggil depa, tentu depa tertanya-tanya, pasai apa dia tak dijemput, sedagkan orang lain semuanya dijemput. Dia tentu terasa hati, silap-silap tiduq tak lena dok pikiaq pasai benda tu. Dan dalam ramai-ramai jemputamn tu, tentu ada yang tertanya-tanya pasai apa jiran tu tak mai. Silap-silap boleh timbui fitnah."
Mungkin ada pengunjung yang menyoal, kenapa cerita ni dimasukkan ke blogpendang. Sebabnya saya terpikiaq bahawa blog ini bertajuk "Selamatkah Pendang". Jadi kalau ada rakyat Pendang yang rai jiran dia macam tu, tentu lama-kelamaman pendang tak akan selamat. Kalau ada pilih-pilih dalam nak panggil makan kenduri, jawabnya tak akan amanlah jiwa antara jiran dengan jirannya.
Bagi saya la, bila nak buat kenduri, yang utama untuk kita panggil ialah anak-anak yatim, orang-orang susah yang makan malamnya belum tentu ada, jiran-jiran terdekat tanpa kecuali tanpa mengira fahaman dan parti, orang-orang alim. Malangnya, amalan kenduri yang kita buat hari ni, orang yang kita jemput tu kita bagi keutamaan kepada orang yang ada nama, ada pangkat, kroni kita, yang sebulu dengan kita dan yang apa-apa dengan kita lagi lah.
Hal macam ni tak boleh dibiarkan, apatah lagi oleh orang-orang yang bergama Islam dan memperjuangkan Islam.
Saya nak tambah sikit cerita jemput orang makan kenduri ni. Saya ada seorang kawan, yang sebenaqnya ada hubungan saudara juga dengan dia. Dia duduk di kg pondok, kubuq panjang. Dan dia bukan ustaz. Bila dia buat kenduri, dia akan sampaikan jemputan kepada empat masjid di sekeliling kampung pondok, iaitu masjid Kubuq Panjang, masjid Pokok Pauh, Masjid Perupuk dan Masjid Bendang Raja. Jadi sapa-sapa yang pi masjid, maka mereka adalah jemputan kenduri kawan saya tu. Ha, puas hati. Jadi sapa-sapa tak pi sembahyang jumaat maka tak boleh la nak terasa hati sebab tak dijemput.
Moral of the kisahnya ialah, kalau anda nak buat kenduri, maka pastikan 40 jiran-jiran sekeliling kiri kanan depan belakang rumah anda tak terkecuali dan utamakanlah orang susah kerana Rasullullah berkata, "barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghormati (berbuat baik) kepada jiran tetangganya."
Bukannya apa, takut nanti di Mahsyar malaikat tanya, "pasai apa hang tak jemput si polan si polan jiran hang mai makan kenduri hang?" Apa gamaknya kita nak jawab?
Takat ni la dulu...